Aku, Korea, Bunuh Diri (Bahagian 2)
Korea dan memori. 6 tahun zaman
remaja dan pengajian aku habiskan di sana, semata-mata untuk segulung ijazah.
Alhamdulillah, aku redha. Walaupun aku pulang ke tanah air tanpa ijazah Degree dari Universiti Y yang diidamkan,
aku masih ada kelulusan Diploma yang
diperoleh sepanjang 3 tahun awal menetap di sana (1 tahun pengajian Bahasa
Korea, 2 tahun pengajian Diploma). Berbekalkan kelulusan Diploma itu, aku dapat mendaftarkan diri di sebuah universiti
swasta tempatan yang terletak di Melaka. Jurusan hampir sama dengan jurusan di
Universiti Y membolehkan aku mendapat ‘credit
exemption’ yang agak banyak berbanding rakan-rakan lain di universiti
tempatan itu (Universiti K). Ditambah lagi dengan alasan permarkahan di Korea
yang lebih tinggi daripada di Malaysia, subjek-subjek yang aku dapat C- (70
markah keatas) juga diterima sebagai subjek diluluskan pengecualian kredit. Namun,
sudah disyaratkan bahawa pengecualian kredit di universiti tempatan daripada
kelulusan sebelumnya adalah maksimum 30 jam kredit sahaja. Aku terima dengan
hati yang terbuka bahawa aku perlu 3 tahun setengah lagi (7 semester++) untuk
pengajian Degree di Malaysia.
Begitulah kisah hidup aku pada awal pengajian Degree semula di Malaysia, tahun 2013.
Korea dan bunuh diri. Masih ada
persoalan yang boleh dibangkitkan berkenaan isu suicide, dan peristiwa yang pernah aku lalui di sana (rujuk Part
1). Ada aku sebut yang artis-artis juga mengambil langkah membunuh diri untuk
‘meringankan’ beban yang ditanggung secara rohaniah mereka. Kes terbaru yang
aku dengar di sana adalah kejadian bunuh diri oleh salah seorang pegawai atasan
syarikat konglomerat L Corporation
selepas pemilik berkenaan terlibat dengan skandal money laundering. Pegawai tersebut menyatakan dalam nota bunuh
dirinya bahawa pemilik syarikat itu adalah orang yang sangat baik dan tiada
penyelewengan telah dibuat olehnya. Dengan kematian pegawai tersebut, siasatan
menjadi sedikit rumit kerana pihak berkuasa tidak dapat menyoal siasat beliau
berkenaan kes tersebut, memandangkan beliau adalah orang yang paling dipercayai
pemilik syarikat tersebut.
Kisah ini tiada kaitan besar dengan
peristiwa besar yang aku alami sendiri. Hanya topik suicide yang ingin aku ketengahkan di sini. Maka, kita berbalik
kepada kisah ajossi yang membunuh diri itu serta anak dan balu yang ditinggalkannya.
Setelah aku berjaya overcome trauma
peristiwa bunuh diri dan mimpi-mimpi buruk tidak lagi berselang singgah dalam
tidur aku, aku tertanya-tanya tentang isteri dan anak mangsa yang tinggal
bertentangan dengan rumah aku itu. Sedangkan aku perlukan masa untuk mengatasi
trauma hasil kejadian itu, inikan pula keluarga mangsa sendiri. Mahu sahaja aku
mengetuk pintu rumah mereka bertanyakan khabar. Aku berkira-kira untuk membeli
buah tangan terlebih dahulu sebelum melawat rumah jiranku itu.
Hasrat aku terbantut apabila aku
lihat sering sahaja rumah itu tidak berpenghuni apabila aku cuba tinjau
daripada luar selepas pulang daripada kelas. Perasaan ingin tahu aku pendamkan
hampir dua minggu kerana bimbang masa tidak sesuai untuk bertanya, dan kelibat
mereka amat sukar sekali dilihat sejak akhir-akhir ini. Sehinggalah lebih
kurang sebulan selepas kejadian, pintu rumahku diketuk berkali-kali pada pukul
10 malam. Amat jarang aku ada tetamu datang ke rumah. Rakan-rakan batch aku semua sudah pulang ke Malaysia
(semester extend ketika itu), bahkan
junior-junior juga tidak pernah berkunjung ke situ. Rumah yang agak ceruk ke
dalam dan jauh daripada kesibukan kota Seoul. Adakah manusia yang mahu berkunjung,
atau…?
Kau lelaki, bertindaklah seperti
lelaki. Hatiku berbisik mendorong agar digagahkan jasad membuka pintu. Rentak
ketukan pintu tidaklah menyeramkan pun. Tiada suara mengiringi ketukan pintu.
Lalu, aku pun bukalah pintu untuk melihat siapa di luar. Bila dibuka, hanya angin
yang masuk ke dalam. Ah sudah! Pintu masih diketuk. Lalu aku menjenguk lagi
arah hadapan pintu rumah aku. Rupa-rupanya, tetamu aku turut berganjak ke tepi untuk
mengelak semasa pintu dibuka, membuatkan aku sedikit seram kerana tidak nampak
siapa yang datang. Hampir ketawa sendiri aku di situ. Tetamu pada malam itu
adalah jiran aku, balu mangsa yang sudah sebulan menyepi. Raut wajah tuanya
jelas kelihatan. Perbualan belum bermula, tetapi aku tahu. Dari raut wajah dan
suasana sunyi tanpa apa bunyi yang kedengaran dari rumah mak cik (ajumma), dia
datang membawa mesej sedih dan sunyi.
Aku mulakan bicara dengan ucapan
biasa dalam Bahasa Korea (aku olah kembali dalam bahasa bercampur sedikit
sebanyak konteks perbualan yang aku ingat). “Annyeong haseiyo, ajumma. Apa
khabar? Maaflah rumah agak semak, tak sempat saya mengemas baru-baru ni.”
Ucapan selamatku dibalas dengan senyuman kelat. Nampak jelas kesedihan ajumma
itu. Kata-kataku dibalas dengan lembut,” Tak apa, haksaeng (student). Makcik pun tak mahu ganggu
kamu. Sekadar berbual di luar pun tak pa.”
Pucuk dicita ulam mendatang. Rumah
semak, takkanlah nak ajak masuk juga. Lalu aku melangkah keluar dan menutup
pintu rumah. Perbualan kami hanya di hadapan rumah masing-masing. Belum sempat
aku meneruskan bicara, ajumma terlebih dahulu berkata,” Ajumma minta maaflah ye
haksaeng. Sebab ajossi, kamu terpaksa tengok benda tak elok.” Aku pilu dan
terkesan dengan ayat ajumma. Aku yang dirisaukan dulu, tipikal cara orang-orang
lama bangsa mereka. Aku yakin orang-orang lama kita juga begitu. Cuma cara
penyampaian berbeza.
“Ajumma, jangan risaukan saya. Saya
anak muda, pengalaman macam ini akan lebih mudah untuk saya lupakan. Ajumma
dengan hyeongnim (abang/Korean B) macam mana? Saya cuba juga nak datang
melawat, tapi takut masa tak sesuai untuk ajumma.” Aku cuba menyusun ayat
elok-elok, bimbang ada kata-kata yang boleh mengguris hati tua ajumma yang
kesedihan ini.
“Aigoo, ajumma sampai sekarang tak
tahu kenapa ajossi buat macam ni. Sebelum ni apa-apa masalah dia bawa bincang,
kali ni ajumma betul-betul bingung kenapa dia sanggup bunuh diri….Manalah
silapnya. Patutlah pagi tu asyik keluar masuk bilik, tak senang duduk,” tutur
kata ajumma beriringan dengan sebak di hatinya. Aku, sebagai insan biasa di
negara asing ini, apa yang mampu aku lakukan? Kita dan mereka berlainan budaya,
agama, dan warna, walhal bahasa juga berbeza. Sebagai manusia prihatin, apa
yang aku boleh lakukan untuk menghadapi warga emas kesedihan seperti ajumma
ini?
Aku yakin sebagai insan yang dicipta
oleh Tuhan yang sama, tiada kami, kita, dan mereka untuk diasing-asingkan. Kita
itu adalah mereka juga. Kesedihan ajumma menusuk kalbu, meresap ke dalam emosi.
Lalu aku mendekati ajumma dan memeluk beliau, dengan harapan dapat menenangkan
hati si tua yang penuh dengan kesedihan dan kesepian. Beliau bukan siapa-siapa
kepada aku, hanyalah jiran tetangga. Namun, menjadi suatu tanggungjawab untuk
kita, di mana sahaja, untuk memastikan mereka rasa dihargai dan diterima,
walaupun aku sebagai rakyat asing, penerimaan itu sepatutnya dibuat oleh mereka
kepada aku, kelompok minoriti.
Setelah menenangkan diri, ajumma itu
berkata lagi, “Haksaeng, ajumma minta maaf ya ambil pisau kamu dan buang tanpa
izin. Kepercayaan kami pisau tu membawa malang kalau terus digunakan, dan
ajumma tak boleh ganti dengan pisau juga. Budaya kami begini.” Lalu dihulurnya
sekarton jus buah-buahan kepada aku. “Eh, apa ni ajumma? Takpa lah susah-susah
jer. Lagipun pisau tu dah tumpul, tak perlu gantikan pun. Saya ikhlas.” Ajumma
tetap insist aku ambil jus tersebut. Rezeki jangan ditolak, musuh jangan dicari.
Demi menjaga hati ajumma, aku terima jus buah-buahan itu sebagai ganti pisau
yang terbuang. Baru aku tahu kenapalah hendak dibuang pisau itu in the first place. Lebih utama daripada
melihat keadaan suami sendiri. Kuat juga pegang adat dan kepercayaan ajumma
ini. Kaum-kaum di timur, sama sahaja rupanya.
Ajumma mengakhiri perbualan dengan
kejutan lagi,” Haksaeng, kami sebenarnya sudah mahu pindah. Dalam seminggu dua
ni akan ramai orang datang nak tengok rumah kami, sebab kami nak jual.
Kalau-kalau ada orang tak dikenali ketuk-ketuk pintu rumah haksaeng nak tengok
rumah, bagitahu rumah kami yang nak dijual ya.” “Eh, ajumma nak pindah? Ke
mana?” aku terus bertanya, sekadar ingin tahu.
“Jauh dari sini lebih baik. Banyak
sangat kenangan dengan ajossi di sini. Tak sanggup ajumma asyik terkenang kalau
terus tinggal di sini.” Aku rasa seperti bersalah pula bertanya soalan
lebih-lebih. Mahunya menangis lagi, kena peluk lagi pula. Ajumma berkata
lagi,”Urusan jual beli pun sudah tak lama lagi. Anak ajumma pun sudah
tengok-tengok rumah yang sesuai untuk kami tinggal. Mari, haksaeng. Jumpa anak
ajumma kat dalam.”
Aku menurut sahaja. Rumah beliau
lebih besar daripada rumah aku. Kosong. Aku percaya sudah 90 peratus persiapan
berpindah sudah dibuat. Patutlah rumah selalu tidak ada orang. Sudah tentu
mereka sibuk mencari rumah. Sebagai makluman juga, orang Korea juga ada waktu
berkabung mereka yang tersendiri. Mungkin mereka sedang berkabung sepanjang
ketiadaan mereka dari pengamatan aku. Melihat kehadiran aku di hadapan pintu
rumah, Korean B (anak ajumma) tersenyum kepada aku dan menerima insa (tunduk
hormat) seadanya. Aku tahu, dalam situasi begini, senyuman adalah sangat berat
untuk diberikan. Aku menghargainya senyuman itu.
Tidak banyak yang dibualkan antara
aku, Korean B, dan ajumma. Kemudian, aku pun minta izin untuk pulang
memandangkan Korean B sedang melekatkan tape
hijau pada kotak untuk persiapan berpindah. Aku tidak dapat mendoakan kesejahteraan
mereka ‘di sana’ nanti, tetapi aku tetap berharap mereka dapat menghadapi
dugaan ini dengan baik. Semenjak daripada itu, tiada khabar berita lagi yang
pernah kudengar berkenaan mereka. Bagaimanalah agaknya mereka di sana. Selagi
nyawa dikandung badan, tidak akan aku lupa memori berjiran dengan kalian.
Terima kasih atas segala jasa baik kalian sepanjang aku dan juga
penyewa-penyewa pelajar Malaysia yang pernah tinggal di situ sebelum aku.
Ajossi itulah yang selalu menjadi wakil menerima pos laju atau surat
pelajar-pelajar Malaysia apabila kurier datang semasa kami di kelas. Trend belian atas talian memang sudah
lama popular di Korea.
Sebagai penutup, aku ingin sekali
lagi menasihati pembaca sekalian. Ingatlah bahawa ketenangan, seperti juga wang
ringgit dan kebahagian, hendaklah dicari melalui usaha yang berterusan.
Sekiranya kita ikhlas memohon ketenangan dari Yang Mutlak, dengan izinNya juga
akan sampai ketenangan itu. Ya, aku akui sejak ditimpa dugaan demi dugaan
sepanjang usia pengajian formal aku, aku rasa aku tergolong dalam golongan
manusia bermasalah depression.
Kadang-kadang aku dengar ‘suara hati’ sendiri seolah-olah bercakap di telinga.
Aku sentiasa menafikan perkara ini dalam hati, mungkin untuk menyedapkan hati.
Apapun, aku bukanlah arif dalam bidang psikologi, dan aku merasakan hal ini
bukanlah sesuatu di tahap berbahaya. Jadi, hanya dengan tidak mempedulikan
‘suara-suara hati’ ini, aku rasa masalah ini tidak akan melarat. Aku serahkan
segalanya pada Allah. Semoga coretan aku ini bermanfaat kepada semua.
Comments
Post a Comment